19.12.15

berbicara dengan rusa

"tik,tok,tik,tok"

malam malam begini tak banyak bunyi yang boleh didengari.bunyi air akuarium, air tangki, paling jelas sekali bunyi jarum saat jam loceng berpusing atas meja belajar. aku masih terkelip-kelip dalam samar-samar cahaya lampu jalan.

semakin lama cahaya semakin kelam ditelan gelap. seolah-olah disedut macam air di sinki yang telah kau buang butir butir nasi dan bawang yang menutupi lubang alir. disedut berpusar mengheret aku sekali. oh ohh ohhh.

"shplekkk!"

aku dicampak ke atas tanah yang sedikit lembap. melilau aku dalam gelap. hutan mana pula ini. kupejam mata berkali kali untuk mengasimilasi mata dengan kegelapan. dalam pinar pinar muncul satu cahaya kebiru biruan. melompat lompat melantun melantun. makin lama makin dekat. ah sudah.

wangi baunya. ianya seekor rusa. kedatangannya serupa menyambut. ahh aku kenal dia ini. lebih dari kenal.

buat seketika aku lupa di mana aku berada. seronok berbual, bermain dengan si rusa. bersamanya memang menghiburkan. lebih tepat lagi membahagiakan. bila dikata tentang manis, mukanya merah seperti lada. aku suruh si rusa lihat mukanya sendiri pada bias bias air, dia sendiri terkejut. 

sudah lama aku kenal si rusa. bahkan aku percaya aku benar benar mengenalinya. tetapi entah bagaimana, entah bagaimana. bila aku benar benar hendak menangkapnya, dia terlalu pantas berlari. barangkali aku yang terlalu perlahan. atau si rusa sekadar dilarikan dan berharap diselamatkan. 

resam si pemburu, jika terlalu lama mengejar, timbul rasa hubungan yang kuat. rasa sayang yang dibina sekian lama. romantiknya tiada siapa yang tahu.

ku usap usap pipinya. si rusa menggerak gerakkan telinga tanda selesa. cuba aku genggam kakinya, serta merta dia berlari ke celah pelusuk semak. bukan ketakutan tapi masanya telah tiba. melompat lompat melantun lantun dia pergi. berpusing ke kanan dan lama kelamaan cahaya kebiru biruan hilang dari pandangan.

"fuhhh...."

senyum sendiri aku melihat dia pergi. jangan pernah lupakan aku ya. kerana satu hari nanti aku akan mendapatkanmu. 

sekarang aku perlu mencari jalan keluar dari hutan ini.


No comments:

Post a Comment